Search This Blog

Saturday, January 16, 2016

Tercampak langgar lopak air

Ipoh: Lima pegawai Jabatan Imigresen Perak yang cedera termasuk empat parah dalam kemalangan di Kilometer 272.9, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini malam kelmarin, baru selesai menjalankan siasatan terhadap 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan baru-baru ini.
Dalam kejadian jam 8.48 malam itu, semua mangsa dikatakan tercampak keluar selepas kenderaan pacuan empat roda Toyota Fortuner jabatan itu terbabas sebelum melanggar penghadang konkrit di tepi kiri jalan.
Mangsa yang parah pemandu, A Haridass, 36; penumpang hadapan, Mohamad Rahmat Abdul Manap, 41, serta dua penumpang belakang, Rosli Abd Rahim, 36, dan Zainimazwan Abd Ghani, 37, manakala seorang lagi penumpang belakang, Mohd Faridz Muhamad Nor, 31, cedera ringan.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Sharmanrizal Rustam berkata, ketika kejadian semua pegawai terbabit dalam perjalanan pulang dari Langkap ke Pengkalan Hulu selepas selesai bertugas.
“Ketika dalam perjalanan pulang ke Pengkalan Hulu, mereka terbabit kemalangan apabila kenderaan dinaiki melanggar lopak air mengakibatkan kelima-lima mangsa tercampak keluar dari kenderaan,” katanya selepas melawat seorang daripada pegawai berkenaan di Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini semalam.
Sharmanrizal berkata, hanya seorang pegawai masih dirawat di HRPB manakala empat lagi mangsa termasuk seorang yang menggunakan alat sokongan tulang belakang, dibenarkan keluar dari wad pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, Toyota Fortuner berkenaan melanggar lopak air sehingga hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi konkrit di tepi kiri jalan.
“Empat mangsa parah termasuk cedera di kepala, patah tangan kiri dan luka di beberapa bahagian badan manakala seorang lagi cedera ringan,”katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2016 @ 7:23 AM


MANGSA cedera diberi bantuan kecemasan di lokasi nahas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/107772#sthash.aSXU9tNj.dpuf

No comments:

Post a Comment