KUALA LUMPUR - Faktor terbabas sendiri, makan jalan dan gagal memotong kenderaan hadapan antara punca kemalangan maut yang dikenal pasti di negara ini sepanjang tahun lalu.
Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mahamad Akhir Darus berkata, sejumlah 1,713 kes kematian maut tahun lalu disebabkan terbabas sendiri, manakala makan jalan mencatatkan 764 kes dan gagal memotong dengan 689 kes.
“Jumlah kemalangan maut pada tahun lepas  meningkat 0.1 peratus kepada 6,193 kes membabitkan 6,706 kematian. Bagi tahun sebelumnya, jumlah kemalangan maut mencatat 6,187 kes dengan 6,674 kematian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata, jumlah kes kemalangan meningkat pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 2.8 peratus, mencatatkan angka kepada  489,606 kes daripada 476,196 kes pada tahun 2014.
“Penunggang dan pembonceng motosikal masih merupakan penyumbang utama kematian tertinggi dari jumlah keseluruhan kematian iaitu 4,203 kes.
“Angka kedua tertinggi pula masih mencatatkan motokar dengan 1,358 kes disusuli pejalan kaki 482 kes, lori 233 kes dan lain-lain sebanyak 440 kes,” katanya.
Ujarnya, Selangor masih mencatatkan angka kemalangan tertinggi iaitu sebanyak 140,957 kes, diikuti Johor 64,664 kes dan Pulau Pinang 39,856 kes.
“Pada tahun lalu, Cawangan Trafik seluruh negara  telah menjalankan sebanyak  162,957 operasi.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 6,553,859 saman telah dikeluarkan melibatkan  3,938,047 saman memandu melebihi had laju dan 26,391  saman melibatkan penggunaan lorong kecemasan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mahamad Akhir berkata, pemandu kereta Perodua Kancil dan pemandu lori yang didakwa terlibat dengan kemalangan membabitkan pelajar berusia 13 tahun di Parit 16, Sungai Panjang, Sabak Bernam telah tampil membuat laporan.
Dalam kejadian Isnin lalu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap putus kedua-dua kaki selepas digilis lori yang membawa muatan tanah.
Sebelum kejadian, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, membonceng motosikal Honda EX5 yang ditunggang kakak tirinya, Shamin Amirah Roslan,14, sebelum dipercayai dilanggar kereta dari belakang.
Mangsa kemudiannya terjatuh di tengah jalan dan tidak sempat bangun sebelum kakinya digilis lori
.