Ketua Penguat Kuasa Daerah Ma­ritim Sandakan, Kapten A. Razak Abd. Rahman berkata, penahanan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu dibuat pihaknya selepas mendapat maklumat berhubung aktiviti pemindahan minyak sawit mentah secara haram di kawasan perairan Bandar Ramai-Ramai.
Menurutnya, minyak sawit mentah yang mahu dicuri itu merupakan lebihan dan ditinggalkan di atas barge kapal tunda kira-kira 0.1 batu nautika dari Pantai Bandar Leila.
“Bertindak atas maklumat, bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kekuatan lima anggota bergegas ke kawasan tersebut serta mengesan sebuah bot pancung yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.
“Seorang tekong bot melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Maritim Malaysia dan menemukan empat tan metrik minyak sawit mentah di atas bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah A. Razak, lebihan minyak sawit mentah itu tidak boleh dibawa keluar tanpa kebenaran bertulis tertakluk kepada Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998.
Difahamkan, lebihan minyak sawit mentah yang dicuri itu akan dijual di pasaran dengan harga yang murah.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya merampas empat tan metrik minyak sawit mentah itu selain turut membawa bersama bot pancung yang digunakan individu terbabit ke jeti Maritim Malaysia Sandakan untuk siasatan lanjut.
“Kita sedang menjalankan siasatan berhubung nilai rampasan minyak sawit mentah itu dan kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998,” katanya.