Menurut Suhaimi Isa, 66, dia terkejut selepas melihat seekor ular tedung selar sepanjang 3.5 meter 'mengetuk' tingkap rumahnya, seolah-olah ingin masuk ke kediaman berkenaan.
Suhaimi yang juga Imam Masjid Kariah Pelangai berkata, ketika kejadian, dia sedang tunggu untuk solat Asar.
"Ketika itu hujan dan saya terdengar bunyi ketukan dari tingkap depan. Ingatkan budak-budak ketuk tingkap sebab saya buat kedai runcit kecil-kecilan di sini.
"Tetapi bila perhati betul-betul, saya terkejut seekor ular tedung sedang jengah tingkap. Bila saya buka pintu hadapan rumah, reptilia itu memandang saya dan cuba mematuk namun tidak sempat kerana saya cepat-cepat tutup pintu," katanya.
Katanya, dia bergegas memberitahu isterinya, Nor Asiah Sidek, 65,  sebelum memberanikan diri membuka semula pintu rumahnya.
"Saya jengah dekat tingkap tapi ular tu dah tak ada. Kemudian saya yakinkan diri buka pintu depan untuk tengok kalau-kalau ular itu sudah tiada.
"Namun sangkaan saya meleset...ular itu berada depan pintu manakala kepalanya masuk ke dalam longkang. Saya terus memaklumkan perkara itu kepada Pengerusi JKKK Seri Pandan, Mohd Zuhan Ishak, 54, sebelum ketua kampung menghubungi JPAM," katanya.
Sementara itu, empat anggota JPAM diketuai oleh Nur Emyelia Sabaruddin bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.30 petang.
“Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular berkenaan yang bersembunyi di dalam longkang. Kedudukan kepala ular berkenaan agak tersorok dan dipenuhi air hujan menyukarkan kami untuk menjerut bahagian kepalanya.
"Alhamdulillah, setelah hampir setengah jam berusaha, reptilia itu berjaya dijinakkan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zuhan menzahirkan ucapan terima kasih kepada JPAM kerana berjaya menangkap reptilia berbisa yang boleh mengancam keselamatan penduduk.