Search This Blog

Monday, January 18, 2016

Takdir si baik hati

Sungai Petani: “Semalam (kelmarin) Muhamad Rizal menolong rakannya yang terbabit nahas, tetapi tidak sangka pula pagi tadi (semalam) dia kemalangan dan pergi buat selama-lamanya.”
Begitu kata Shamila Yusof, 37, ibu saudara Muhamad Rizal Pizwan, 23, atau dikenali sebagai Atan yang maut selepas lori dipandunya merempuh belakang lori kontena dalam kemalangan di Batu 2, Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil, di sini, semalam.
Kemalangan berlaku jam 6.30 pagi berhadapan Institut Pentadbiran Awam Negara (INTAN) apabila lori muatan dipandu mangsa dari Bandar Puteri Jaya (BPJ) menuju ke pusat bandar hilang kawalan lalu merempuh belakang lori kontena di tepi jalan.
Akibatnya, lori mangsa remuk menyebabkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dipanggil untuk mengeluarkan mangsa tersepit.
Shamila berkata, anak saudaranya baru keluar dari rumahnya di BPJ, di sini, jam 6.15 pagi untuk menghantar kiub ais di sekitar Taman Ria Jaya dan Taman Ria, namun tidak lama selepas itu dia menerima panggilan telefon daripada rakan mengatakan mangsa kemalangan.
“Pada mulanya saya ingat kemalangan biasa saja, tetapi terkejut apabila melihat keadaan lori ais melekat pada belakang kontena dan mendapati Atan tersepit serta tidak bernyawa.
“Atan tinggal bersama saya sejak Mei lalu. Sepatutnya Atan cuti hari ini (semalam), tetapi rakannya minta arwah gantikannya bertugas kerana ada urusan.
“Arwah memang ringan tulang dan suka membantu siapa saja,” katanya di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul halim (HSAH), di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa yang mengesahkan kejadian, kemalangan berlaku apabila lori mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh lori kontena di tepi jalan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:33 AM


Anggota bomba memeriksa keadaan lori ais yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108159#sthash.5Ljfuk8T.dpuf

No comments:

Post a Comment