Search This Blog

Friday, January 15, 2016

Susu keluar ikut hidung

Port Dickson: “Saya takut dan cemas apabila mendapati anak lelaki saya dalam keadaan lembik, bibirnya bertukar kehitaman dan susu keluar daripada hidungnya.
“Ketika itu, saya hanya mampu berdoa supaya Allah menyelamatkannya,” kata Nazri Hanafiah, 23, bapa kepada Muhammad Firman Shah, berusia 40 hari yang meninggal dunia dipercayai tersedak susu di rumahnya di Taman Desa Port Dickson, di sini, semalam.
Nazri berkata, kejadian itu disedarinya jam 6 pagi ketika mahu menunaikan solat Subuh sebelum ke tempat kerja di restoran berhampiran.
Dia yang bekerja sebagai tukang masak berkata, sebelum kejadian, anak sulungnya diberi susu oleh isterinya, Maisaroh Hassan, 28, kira-kira jam 2 pagi.
“Selepas menyusu, Muhammad Firman tertidur. Malah, apabila saya dan isteri bangun semula empat jam kemudian, dia masih tidur seperti biasa.
“Bagaimanapun, ketika mahu mengalihkannya ke atas tilam, saya terkejut mendapati badannya lembik dan susu keluar dari hidung.
“Saya hanya mampu melaungkan Allahuakbar dan mengharapkan dia masih hidup,” katanya di Hospital Port Dickson (HPD), di sini, semalam.
Katanya, dia menghubungi HPD sebelum ambulans tiba dan membawa bayi lelaki itu ke hospital berkenaan untuk pemeriksaan lanjut dan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia.
“Saya reda dengan ketentuan Ilahi. Saya tidak menyangka Muhammad Firman hanya sempat hidup 40 hari. Dia adalah zuriat pertama kami selepas mendirikan rumah tangga pada 2012.
“Saya sedih dengan apa berlaku, tetapi saya perlu tabah,” katanya jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sua Betong, di sini, selepas solat Zuhur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Baharuddin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 10:43 AM


Nazri dan Maisaroh melihat wajah anak mereka, Muhammad Firman yang maut tersedak susu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/107518#sthash.pGaC4unw.dpuf

No comments:

Post a Comment