KUCHING - Polis menahan satu pasangan suami isteri yang disyaki mendera anak angkat mereka yang berumur empat tahun di sebuah rumah di Ulu Sungai Semenggo, Batu 10 Padawan, sekitar 50km dari sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner, Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata, kes itu terbongkar selepas polis yang mendapat maklumat awam mengenai kemungkinan berlaku kejadian penderaan kanak-kanak pada kira-kira jam 11 pagi tadi, bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba di rumah berkenaan, polis menemui kanak-kanak itu di ruang tamu dengan beberapa kesan luka dan calar di bahagian muka, kepala serta badannya.
Dalam satu kenyataan malam ini beliau berkata, hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu adalah anak angkat kepada pasangan berkenaan, dan polis terus menahan lelaki berumur 27 tahun bersama isterinya yang berumur 35 tahun di rumah berkenaan untuk siasatan lanjut.
Dev berkata kanak-kanak itu sedang menerima rawatan di hospital. - Bernam
a