JENGKA - Sepasang suami isteri di Felda Jengka 13 mengalami kecederaan luka di dahi dan  tangan selepas bergelut dengan tiga penyamun bersenjatakan parang, kira-kira jam 7.30 malam tadi.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Shanmugan a/l Masila Money, 76, bersama isteri, Kamala a/p Thamai Samy, 67,  didatangi tiga lelaki bertopeng ketika pasangan itu berada di dalam rumah.
Suspek memasuki rumah  melalui pintu hadapan yang tidak ditutup.
Berlaku pergelutan di dengan suspek dan  menyebabkan peneroka terbabit luka bahagian dahi serta tapak tangan kiri disyaki terkena parang.
Manakala si isteri mengalami luka kecil di jari tangan dan lengan kiri.
Kedua-dua mangsa diikat tangan sebelum suspek bertindak menggeledah di dalam rumah dan mengambil barangan berharga.
Tiga penyamun keluar melalui pintu sama dengan membawa lari sejumlah wang, barangan kemas, buku bank dan dokumen penting.
Selepas suspek melarikan diri, mangsa berjaya melepaskan ikatan tangan lalu meminta pertolongan jiran dan seterusnya mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Jengka.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Jengka pada jam 11.30 malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Mat Rizal Mat Radzi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan
.