Search This Blog

Friday, January 15, 2016

Suami Isteri Antara Tiga Ditahan Palsukan Sijil Cuti Sakit


Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2016 3:43 PM

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan tiga individu termasuk pasangan suami isteri yang dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan sijil cuti sakit hospital kerajaan, dalam serbuan di Dengkil dan Gombak pada 13 Januari lepas.

Selain pasangan berumur 28 dan 50 tahun itu, polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai dalang sindiket itu yang beroperasi sejak setahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor ACP Mohd Sakri Arifin berkata suami isteri itu ditahan di rumah mereka di Sungai Buah, Dengkil manakala dalang terbabit ditahan di sebuah pangsapuri di Gombak.

"Kami memulakan siasatan apabila sebuah syarikat mengemukakan sekeping sijil cuti sakit pekerjanya kepada Hospital Kajang untuk mengesahkan ketulenannya dan setelah disemak, sijil cuti sakit itu sama seperti yang dikeluarkan hospital itu tetapi jumlah hari, nombor siri dan nama doktor berbeza.

"Cuti sakit itu diberi kepada pekerja terbabit selama 14 hari sehingga menimbulkan keraguan pihak syarikat kerana pekerja itu tidak mengalami penyakit serius. Seorang doktor dari hospital itu kemudian membuat laporan polis," katanya dalam sidang media di sini, pada Jumaat.

Mohd Sakri berkata turut dirampas daripada pasangan suami isteri itu ialah 29 keping sijil cuti sakit palsu dan wang tunai RM90 manakala pihaknya turut merampas 100 cop getah pelbagai nama dan tempat serta beratus-ratus keping  salinan fotostat sijil cuti sakit dan sijil cuti sakit pelbagai nombor siri disyaki palsu dari dalang sindiket itu.

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai tidak menjual sijil cuti sakit palsu secara terbuka tetapi melalui orang tengah dengan harga yang berbeza-beza.

"Berdasarkan siasatan, sijil cuti sakit palsu ini dijual dengan harga RM30 sekeping (bagi pelanggan tetap) dan RM100 bagi pelanggan baharu. Itu tidak termasuk jumlah hari cuti sakit di mana sindiket ini akan kenakan bayaran RM30 bagi setiap sehari cuti sakit.

"Nama pada cop getah pula, setelah disiasat, adalah nama-nama doktor yang memang wujud di beberapa hospital kerajaan di sekitar Lembah Klang. Anggota sindiket ini semak setiap nama doktor di hospital berkenaan," katanya.

Mohd Sakri berkata ketiga-tiga suspek itu direman sehingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 468/472 Kanun Keseksaan.

Pihak polis juga sedang menjejaki baki anggota sindiket berkenaan.

No comments:

Post a Comment