Mayat mangsa, Jum Dala, 42, ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan kesan lebam di mata kiri oleh orang awam kira-kira pukul 3.50 petang itu.
Difahamkan, mangsa yang merupakan suri rumah dibunuh kerana disyaki mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
Sumber memberitahu, sebaik sahaja menemukan mayat mangsa, orang awam terus menghubungi pihak polis.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan koyak pada baju, tudung tertanggal selain seluarnya terlucut separuh.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemukan sebatang besi paip sepanjang 1.8 meter berhampiran mayat mangsa yang dipercayai digunakan suspek,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sumber itu menambah, suami mangsa berusia 37 tahun ditahan pada pukul 6 petang semalam untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Azmir Abd. Razak ketika dihubungi me­ngesahkan mengenai kejadian itu dan memberitahu motif kejadian masih dalam siasatan pihaknya.
Kata beliau, mangsa dipercayai dibunuh di antara 10 hingga 12 jam sebelum mayat ditemukan orang awam di tepi jalan berkenaan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit diminta tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.