Difahamkan, semasa serbuan dilakukan di sebuah rumah di Taman Laguna di sini, wanita terbabit tinggal berseorangan manakala suaminya merupakan rakyat negara ini tidak berada di rumah dan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini giat memburu lelaki berkenaan.
Pengarah JKDM negeri, Datuk Ramli Johari berkata, wanita berusia dalam lingkungan 20-an, ditahan Rabu lepas di sebuah rumah di kawasan perumahan itu pukul 3 petang dan pelbagai jenis kereta ditemukan di kawasan sekitar taman tersebut.
Menurutnya, kegiatan kes penyeludupan kereta mewah dari negara jiran itu berjaya dibongkar hasil risikan yang dibuat pihaknya selain maklumat diterima daripada orang awam berhubung lambakan kereta Singapura di kawasan berkenaan.
“Antara kenderaan yang disita ialah Toyota Alphard, Mercedes-Benz Brabus, Toyota Lexus, Honda Integra, Toyota Estima dan Toyota Lexus,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-34 peringkat Johor, di sini hari ini.
Tambahnya, tiga daripada 26 kenderaan yang disita itu ditemukan di rumah berkenaan manakala selebihnya di kawasan sekitar.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pelbagai jenis yang dirampas termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi itu dipercayai diseludup dari negara jiran, ditaksirkan bernilai RM1.1 juta dan melibatkan cukai sebanyak RM1.8 juta.
Ramli memberitahu, siasatan awal juga mendapati, kesemua kenderaan itu telah dibatalkan pendaftarannya di Singapura sebelum dibawa masuk ke negara ini untuk dijual di pasaran tempatan dengan harga lebih murah berbanding kereta import yang sah.
“Pihak kami sedang giat menjalankan siasatan termasuk mencari saki-baki ahli sindiket terbabit selain menyiasat sejauh mana kegiatan itu sudah beroperasi,” katanya yang menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya de­ngan penjualan kereta murah,” katanya.