Bagaimanapun, sindiket yang di­percayai sudah beroperasi sejak setahun lalu itu tumpas dengan tertangkapnya tiga suspek berusia antara 28 hingga 40 tahun oleh polis di Gombak dan Dengkil, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Mohd. Sakri Ariffin berkata, mereka terdiri daripada seorang le­laki yang dipercayai dalang yang ditahan di Gombak manakala se­pa­sang suami isteri ditangkap di rumah di Kampung Sungai Buah, Dengkil.
Menurutnya, suspek ditahan di se­buah pangsapuri dan dipercayai tidak bekerja serta tiada rekod jena­yah lampau.
“Hasil serbuan, polis merampas 100 cop, 280 keping sijil cuti sakit palsu kosong yang belum dicop dan 110 keping sijil cuti sakit pelbagai nombor siri.
“Kita turut merampas peralat­an membuat sijil sakit palsu se­perti pemotong, alat pengetip kertas, dakwat cop, setem getah dan wang tunai RM90.
“Kegiatan itu dipercayai berjalan selama setahun dan modus operandi adalah perkenalan daripada seorang ke seorang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Sakri memberitahu, ke­se­mua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 468 dan Seksyen 472 Kanun Keseksaan atas kesalahan memalsukan dokumen yang mempunyai nilai cagaran.
Ujarnya, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada sebuah syarikat yang menerima sijil sakit untuk tempoh dua minggu daripada kakitangannya yang tidak mempunyai sebarang penyakit serius.
Tambahnya, siasatan awal mendapati dokumen berkenaan dijual pada harga RM50 untuk pelanggan tetap manakala bagi pelanggan baharu dikenakan caj RM150.
“Kita percaya ada lagi pihak yang terlibat dan siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan,” katanya.