Search This Blog

Monday, January 18, 2016

Serbu makmal penyangak

Nilai: “Patutlah kami (penduduk) selalu melihat banyak kenderaan mewah keluar masuk. Tidak disangka rupa-rupanya rumah itu dijadikan makmal pemprosesan dadah,” kata penduduk Kampung Baru Mantin, di sini, mahu dikenali sebagai Chong, 36.
Chong berkata, dia dan penduduk kampung berkenaan terkejut apabila melihat Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan menyerbu kediaman itu, pada jam 2 petang, semalam.
Chong tinggal berhampiran kediaman itu berkata, pemilik rumah terbabit sudah meninggal dunia tahun lalu.
“Rumah disewa ahli keluarga mendiang kepada orang lain dan kami tidak kenal siapa mereka. Tetapi setiap hari, kami lihat banyak kereta mewah terutama BMW keluar masuk selain orang muda berada di situ ” katanya.
Menurutnya, pada Disember tahun lalu, penduduk ternampak asap keluar daripada kediaman itu seperti berlaku kebakaran.
“Sebaik penduduk menghampiri kediaman dan ingin menawarkan bantuan, mereka tidak membenarkan kami masuk malah melarang menghubungi pihak bomba,” katanya.
Chong berkata, tidak disangka rupa-rupanya petunjuk individu berkenaan menjalankan kegiatan memproses dadah.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter miliknya berkata, STING Bukit Aman berjaya membongkar sebuah rumah dijadikan makmal pemprosesan syabu di kampung berkenaan.
Katanya, seramai 10 individu ditahan selain rampasan peralatan memproses dadah, pistol serta bom tangan.
Dalam pada itu, sumber polis berkata, dadah yang dirampas dianggarkan enam kilogram dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Anggota polis mengepung kediaman itu pada jam 2 petang dan mengarahkan penduduk berhampiran meninggalkan lokasi buat sementara waktu,” katanya.
Sepuluh yang ditahan terdiri lapan lelaki dan dua wanita berusia antara 32 hingga 65 tahun.
Pada masa sama, polis turut menyita kenderaan mewah milik ahli sindiket antaranya Porshe Cayenne, BMW dan Mercedes.
Sebelum ini, sindiket sama pernah ditumpaskan di Sungai Pelek, Sepang pada 31 Ogos tahun lalu sebelum mereka dipercayai memindahkan lokasi ke Mantin, di sini.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:50 AM


LOKASI makmal dadah yang diserbu STING di Kampung Baru Mantin, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108178#sthash.l9Yx0XYX.dpuf

No comments:

Post a Comment