Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, pasangan suami isteri bersama tiga anak mereka yang sedang tidur dikejutkan dengan bunyi kuat daripada pintu bilik utama tingkat atas rumah berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Ernest John berkata, keempat-empat suspek dipercayai terdiri daripada tiga lelaki warga Indonesia dan seorang warga tempatan.
Katanya, kesemua suspek masuk ke bilik pasangan suami isteri itu dengan masing-masing memegang sebilah pisau, sebatang pemutar skru, sebatang kayu serta sebilah parang.
“Salah seorang suspek mengacukan pisau ke arah isteri mangsa lalu meragut rantai dan gelang emas yang dipakainya.
“Kemudian pasangan suami isteri dan tiga anaknya diikat menggunakan kabel serta kain sebelum menggeledah rumah untuk mencari barangan berharga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Mengulas lanjut, Ernest memberitahu, suspek mengambil wang tunai kira-kira RM1,500, lima buah telefon bimbit iaitu sebuah jenama Lenovo, Samsung (2) dan Oppo (1) serta beg kerja isteri yang mengandungi resit dan wang tunai RM67 sebelum melarikan diri.
“Kesemua mangsa yang tiada mengalami sebarang kecederaan, tidak menghubungi pihak polis sejurus kejadian kerana dalam keadaan trauma dan hanya membuat laporan pada pukul 8.50 pagi tadi.
“Susulan kejadian, polis sudah melakukan pemeriksaan di rumah mangsa dan usaha memburu kesemua suspek masih diteruskan,” tegasnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.