Search This Blog

Tuesday, January 19, 2016

Sanggup bunuh polis, pesaing

Kuala Lumpur: Sanggup membunuh anggota polis dan pesaing dadah jika terdesak. Itu persiapan rapi dilakukan sindiket makmal dadah syabu yang dikesan menyimpan pistol, senapang, peluru hidup dan bom tangan.
Sindiket dadah berbahaya berpangkalan di Mantin, Negeri Sembilan itu dikesan membeli senjata api antaranya tiga pistol model Tanfoglio buatan Itali, pistol CZ75D compack (Amerika Syarikat) dan Parabellum Girsan (Turki).
Sindiket itu turut memiliki senapang angin, enam kelopak peluru, 75 butir peluru hidup dan sebutir bom tangan.
Senjata api dan bahan letupan itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini oleh 11 ahli sindiket yang ditahan polis antara jam 2.20 petang kelmarin hingga jam 2.30 pagi semalam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, operasi dilakukan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman di tujuh lokasi di Selangor dan Negeri Sembilan.
Menurutnya polis menahan 11 warga tempatan termasuk dua wanita berusia lingkungan 32 hingga 65 tahun.
“Hasil serbuan, polis merampas dadah syabu dan ekstasi termasuk bahan pemprosesan dadah dianggarkan bernilai RM14.3 juta.
“Rampasan itu dianggap kejayaan terbesar polis narkotik sejak awal Januari,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman tengah hari, semalam.
Beliau berkata, polis turut merampas harta benda milik suspek bernilai RM1.5 juta termasuk wang tunai, jam tangan mewah jenama Rolex dan motosikal.
“Selain itu, lapan kenderaan mewah Mercedes Benz, BMW, Toyota Vellfire dan dua kenderaan pacuan empat roda dirampas.
“Sindiket itu dipercayai baru beroperasi sejak sebulan lalu dan kita percaya mereka menyasarkan pasaran tempatan serta diseludup untuk pasaran Indonesia,”katanya.
Menurutnya, suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabitkan kesalahan.
Khalid berkata, kejayaan itu hasil kerjasama masyarakat dan polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 6:19 AM

PERALATAN memproses dadah yang dirampas dalam serbuan.

No comments:

Post a Comment