Search This Blog

Sunday, January 17, 2016

Samun: Lelaki Bangladesh cedera ditetak

pdrm

17 JANUARI 2016
BUTTERWORTH - Seorang lelaki warga Bangladesh mengalami kecederaan parah di kepala dan tangan selepas ditetak sekumpulan lelaki dalam kejadian samun di sebuah flat di Mak Mandin, di sini malam tadi.  
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Azmi Adam berkata dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu mangsa yang berusia 26 tahun baru pulang bekerja dari sebuah kilang di kawasan berkenaan sebelum didatangi lima lelaki.  
"Semasa kejadian mangsa baru sampai di tingkat bawah flat itu dan hendak naik ke rumahnya apabila lima lelaki itu menghampirinya dan meminta dia menyerahkan wangnya.  
"Mangsa yang pada mulanya enggan menyerahkan wang bertindak mempertahankan diri sebelum lelaki-lelaki terbabit mengeluarkan pisau dan parang serta menetak lelaki Bangladesh berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.  
Katanya selain ditetak, mangsa turut dipukul dan lima lelaki itu bertindak mengambil wang tunai sebanyak RM200 milik warga Bangladesh berkenaan sebelum meninggalkannya di tempat kejadian.  
Azmi berkata mangsa kemudiannya menjerit meminta tolong dan dia dibantu penduduk di situ sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.  
Katanya mangsa mengalami kecederaan luka di kepala dan tangan kanan akibat ditetak dan lebam di beberapa bahagian badan termasuk muka.
Dia dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital.  
Beliau berkata usaha mengesan lima lelaki dipercayai berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang terlibat dalam kejadian berkenaan giat dijalankan.  
Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - Bernam
a

No comments:

Post a Comment