Search This Blog

Saturday, January 16, 2016

SAA siasat sindiket curi dalam pesawat

SABTU, 16 JANUARI 2016 @ 1:00 AM
CAPE TOWN: Syarikat penerbangan Afrika Selatan (SAA) sedang menyiasat pembabitan sindiket mencuri daripada penumpang yang tidur dalam penerbangan antarabangsa dan sudah menyenarai hitam seorang penumpang.
Kenyataan syarikat penerbangan antarabangsa itu muncul selepas seorang penumpang melaporkan barang kemas dan wang tunai AS$1,800 (RM7,955.01) miliknya dicuri penumpang lain dari tempat simpanan bagasi kabin ketika penerbangan dari Johannesburg ke Hong Kong.
Seorang jurucakap SAA, Tlali Tlai dalam e-mel kepada AFP berkata, pihaknya menyedari tiga insiden kecurian dalam penerbangan selang tiga minggu di laluan Johannesburg dan Hong Kong.
"Insiden ini berlaku dalam selang masa yang pendek di satu laluan menyebabkan ia disyaki dilakukan satu sindiket," katanya.
Penumpang Warren Becker menjelaskan dalam satu e-mel kepada Traveller24 mengenai pengalamannya dalam penerbangan dari Johannesburg ke Hong Kong.
"Saya terjaga daripada tidur apabila seorang penumpang yang duduk beberapa baris di belakang menasihatkan saya supaya memeriksa beg oleh kerana dia melihat penumpang lain mengambil beg dari tempat simpanan kabin dan menyelongkar bahagian dalam berhampiran tandas," tulisnya.
Becker berkata, beliau memaklumkan perkara itu kepada kru penerbangan, seorang daripadanya memberitahu kecurian seperti itu pernah berlaku sebelum ini dan ada sindiket beroperasi dalam pesawat SAA."
Media tempatan berkata lelaki yang disyaki menyelongkar bagasi Becker serta seorang rakan subahat, diperiksa pegawai polis di bandar ini, namun wang terbabit tidak ditemui.
"Kami merayu penumpang supaya berhati-hati dengan barangan peribadi dan sentiasa berwaspada dalam penerbangan," kata jurucakap SAA. - AFP

No comments:

Post a Comment