KOTA BHARU - Padah buat dua sahabat yang merompak seorang peniaga kedai makan ketika orang lain sedang bersolat Jumaat, mereka masing-masing dihukum penjara lapan tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.
Hakim, Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Hakim Mohamad, 26, dan Mohd Shahrul Azuri Abdullah, 28, selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah.
Mereka didakwa merompak dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap, Nora Bueraheng dengan mengambil beg tangan yang mengandungi barang kemas, wang tunai RM700, telefon bimbit dan beberapa dokumen peribadi milik mangsa.
Kesalahan itu dilakukannya di  kedai nombor empat , depan TNB kawasan Mel Lundang, di sini, pada jam 1.30 petang, 3 Julai 2015.
Pada kejadian lalu, mereka datang bersama seorang lagi rakan yang menunggu di dalam kereta jenis Perodua Viva dan berhenti di hadapan kedai makan mangsa yang berusia 30-an itu.
Mereka kemudian meluru masuk ke dalam kedai berkenaan dan mengacukan parang ke leher mangsa serta ibu mangsa sebelum merampas beg tangan mengandungi pelbagai barangan berharga. Kerugian dianggarkan bernilai RM30,000
.