Nor Azmi Akan Lian
Remaja berusia 17 tahun itu nekad berbuat demikian selepas mangsa, Nor Azmi Akan Lian, 17, yang berasal dari Kampung Wawasan di sini, sering mengganggunya walaupun selepas dia mendirikan rumah tangga.
Sumber memberitahu, pada kira-kira pukul 2.15 pagi, anggota bertugas di pejabat pertanyaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menerima panggilan dari unit kecemasan Hospital Lahad Datu yang menyatakan seorang remaja perempuan dalam perjalanan ke IPD itu untuk membuat laporan polis berhubung penemuan satu mayat.
Katanya, sebaik sahaja tiba, remaja terbabit yang ditemani suaminya yang berusia 17 tahun membuat laporan bahawa mereka menemukan mayat lelaki di Jalan Tangga Seribu, Dewan Tun Mustapa.
“Hasil laporan itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah telah pergi ke lokasi tetapi gagal menemukan sebarang tanda insiden pembunuhan. Ekoran itu, wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sumber berkata, remaja terbabit kemudian mengaku membunuh Nor Azmi di tingkat 2, sebuah hotel murah di bandar berkenaan dengan satu tikaman di bahagian perut kira-kira pukul 3 pagi, semalam.
Katanya, suspek yang mempunyai hubungan cinta dengan Nor Azmi sejak tiga tahun lalu sebelum mendirikan rumah tangga turut mengaku menikam mangsa menggunakan sebilah pisau ekoran tidak mahu diganggu.
“Suspek yang buntu dengan tindakannya membunuh Nor Azmi telah mendiamkan diri di bilik hotel tersebut bersama mayat mangsa sebelum menghubungi suaminya meminta bantuan kira-kira pukul 11 malam semalam.
“Suspek dan suaminya kemudian membawa turun dan menghantar mangsa ke hospital sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Sumber memberitahu, suspek dan suaminya merupakan pelajar Pusat Latihan GiatMara Lahad Datu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Salehuddin Abd. Rahman yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa.
Kata beliau, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.