BANDAR KUALA KANGSAR - Seorang kakitangan kerajaan merayu agar dua anaknya yang dipercayai berada bersama suaminya dipulangkan semula.
Norhayati Yusoff, 30, berkata, dia sedih apabila terpaksa berpisah dengan dua anak kandungnya, Nur Adni Sofia, 6, dan Nur Adlina, 3, sedangkan dia mempunyai hak untuk menjaga mereka.
Menurutnya, dia buntu memikirkan nasib anak-anaknya dan sudah berhabis ratusan ringgit mencari mereka sehingga ke merata-rata tempat.
"Dah sebulan lebih saya cari mereka. Anak bongsu saya diambil bekas suami pada 16 Disember tahun lalu.
"Sekarang saya tak tahu dekat mana mereka berada. Saya pernah pergi ke Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan, tapi sampai sekarang tak jumpa," katanya.
Norhayati berkata, kedua-dua anaknya itu sepatutnya berada di bawah jagaannya selepas berpisah dengan bekas suami.
"Sekarang dua-dua ada dengan bekas suami. Saya ada surat mahkamah. Jadi saya rayu bekas suami pulangkan mereka. Biar saya yang jaga kedua-duanya," katanya.
Katanya, dia terkilan dengan sikap bekas suaminya yang bertindak sedemikian sedangkan mereka boleh menyelesaikan perkara itu secara baik.
"Saya pernah viralkan kehilangan anak saya ini di laman sosial tapi bekas suami marah menyebabkan dia memotong rambut anak sulung kami.
"Lepas itu saya padam status di laman sosial sebab bimbang keselamatan anak," katanya.
Tambahnya, dia tidak teragak-agak membawa perkara ini ke peringkat lebih serius sekiranya bekas suami masih berdegil.
"Perintah mahkamah dah ada. Kalau dia masih degil, saya akan bertindak lebih keras. Saya sebenarnya lebih suka selesaikan dengan cara baik.
"Sekarang saya harap kalau ada orang nampak anak-anak saya, mereka boleh hubungi di talian 019-4378424,” katanya
.