LONDON - BRITAIN. Presiden Rusia, Vladimir Putin didakwa meluluskan satu operasi untuk membunuh bekas perisik FSB dan agen KGB, Alexander Litvinenko pada 2006.
Menurut laporan CNN, inkuiri dari United Kingdom (UK) mengatakan bekas hakim mahkamah tinggi, Robert Owen berkata beliau 'pasti' dua bekas kakitangan kerajaan Rusia telah meracun Alexander yang berumur 44 tahun pada waktu kejadian dengan bahan radioaktif polonium-210.
Dua bekas kakitangan kerajaan tersebut adalah Andrei Lugovoi yang juga merupakan bekas agen KGB dan FSB dan bekas pegawai tentera Rusia, Dmitri Kovtun.
"Operasi FSB tersebut mungkin telah diluluskan oleh Putin dan Nikolai Patrushev, iaitu ketua operasi FSB pada 2006," kata Robert Owen.
Balu Alexander, Marina yang ditemui wartawan di luar Mahkamah Tinggi di UK hari ini memberitahu bahawa maklumat terakhir Alexander mengenai penglibatan Putin dalam pembunuhan tersebut telah dibuktikan.
Marina juga menggesa Perdana Menteri Britain, David Cameron supaya mengusir semua agen Rusia dari London.
Duta Rusia di London bakal dipanggil untuk membincangkan inkuiri tersebut, manakala notis Interpol dan waran tahan kini disediakan untuk menahan suspek yang terlibat jika diperlukan.
Sementara itu, jurucakap Menteri Luar Rusia hari ini menafikan kematian Alexander bermotifkan politik.
"Kami kecewa kerana kes ini telah dipolitikkan dan telah mengkeruhkan hubungan dua hala diantara Rusia dan Britain," kata Maria Zakharova
.