Search This Blog

Tuesday, January 19, 2016

Proses dadah dalam banglo



Khalid (kanan) memeriksa sebahagian daripada peralatan memproses dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar dadah serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM14.3 juta dalam serbuan di tujuh lokasi berasingan di Negeri Sembilan dan Selangor semalam.
Serbuan yang dilakukan oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman bermula pukul 12 tengah malam itu hasil intipan dan makluman risikan.
Antara lokasi serbuan ialah Nilai dan Mantin di Negeri Sembilan manakala di Selangor pula ialah Puchong, Kuala Kubu Bharu dan Sungai Pelek.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah banglo di Kampung Baru, Mantin, Negeri Sembilan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati rumah berkenaan dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu serta pil ekstasi yang dipercayai untuk pasaran tempatan serta dieksport ke Indonesia.
“Dalam serbuan itu kita merampas syabu seberat 135 kilogram (kg), serbuk kristal (10.9kg), serbuk disyaki ekstasi (25kg), serbuk ephedrine (5kg), 3,700 biji pil ekstasi serta pelbagai bahan kimia dan peralatan memproses dadah.
“Selain itu, kita juga merampas empat pucuk pistol automatik, selaras senapang angin, enam kelopak peluru, 75 butir peluru dan sebutir bom tangan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini semalam.
Tujuh kenderaan milik sindiket berkenaan yang dipercayai hasil penjualan dadah disita.
Pelbagai barang kemas termasuk jam tangan berjenama mewah serta wang tunai berjumlah RM36,410 turut disita.
Kesemua 11 ahli sindiket yang ditahan termasuk dua wanita berusia lingkungan 32 hingga 65 tahun kini direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3xh3hZzE4 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment