Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam serbuan tersebut, polis berjaya menemukan kembali 11 buah motosikal, sebuah enjin, dua unit casis dan pelbagai komponen termasuk peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah tersebut.
“Seramai tujuh lelaki daripada tiga kumpulan tersebut berusia antara 13 hingga 30 tahun ditahan dalam operasi itu di sekitar bandar ini.
“Dalam tangkapan kumpulan pertama dikenali Fidal Balok, lima lelaki termasuk seorang remaja berusia 13 tahun ditahan pada 20 Januari lalu di sekitar bandar ini dan hasil pemeriksaan di sebuah rumah, kita menemukan tujuh buah motor termasuk dua unit casis,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata, tiga daripada suspek yang ditahan itu didapati positif dadah jenis amphetamine.
“Pada 22 Januari, polis memberkas seorang lagi suspek berusia 25 tahun yang dipercayai ketua kumpulan Wan Bypass di sebuah rumah dan merampas dua buah motosikal termasuk sebuah yang dilaporkan hilang di Taiping, Perak. Hasil pemeriksaan, nombor enjin dan casisnya telah dikikis.
“Hasil siasatan, suspek mempunyai dua rekod jenayah dan dikehendaki polis berkaitan kesalahan dadah,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, tangkapan terakhir dibuat pada 28 Januari lalu di sebuah rumah di Beserah dan seorang suspek dipercayai dari Kumpulan Duan Gebeng ditahan bersama dua buah motosikal yang dicuri.