KUALA LUMPUR - Pasukan Polis Trafik Bukit Aman dijangka akan memperoleh 20 buah alat Sistem Pengesanan Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) pada Jun tahun ini, bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap dan saman tertunggak.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mahamad Akhir Darus berkata sistem pengimbas ANPR itu akan dipasang pada kereta peronda polis.
"Melalui alat pengimbas ini mereka boleh dikenakan tindakan saman serta-merta di mana alat berkenaan mampu mengesan pesalah trafik melalui nombor plat pendaftaran kenderaan mereka dan terus masuk ke dalam sistem saman polis trafik.
"Pengimbas ANPR menggunakan teknologi Amerika Syarikat bakal digunakan secara meluas di seluruh negara dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
Mahamad berkata, selain mengesan kes-kes saman, sistem baharu itu juga membolehkan polis mengesan kenderaan jenayah atau yang dicuri melalui nombor pendaftaran plat kenderaan.
Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada orang awam dibenarkan untuk menjalankan aktiviti marsyal bagi mengawal lalu lintas semasa mengiring kenderaan lain, misalnya rombongan bermotosikal, Mahamad berkata kegiatan itu tidak dibenarkan sama sekali dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. - Bernam
a