MELAKA – Seorang anggota polis dari Unit Ronda Bermotosikal (URB) cedera apabila dirinya melambung selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta dinaiki dua lelaki dipercayai tokan di Taman Bertam Indah, Bertam Ulu, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, anggota polis berusia 30-an itu dirempuh ketika cuba menghalang laluan kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki dua lelaki berusia 30-an termasuk seorang daripadanya dipercayai anggota tentera.
Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Halim, 44, berkata, kejadian berlaku di depan matanya yang sedang memandu kereta menghala  rumah adik iparnya terletak di taman perumahan tersebut.
“Saya yang datang dari Krubong nak tumpang buang air di rumah adik ipar, masa lalu depan deretan rumah kedai saya nampak dua motosikal ditunggang anggota polis dan sebuah kereta peronda mengejar dan menghalang kereta viva.
“Kereta tu laju terus langgar motosikal polis di depannya menyebabkan anggota melambung dan jatuh atas jalan. Seorang anggota peronda juga cedera di mulut sebab ditumbuk salah seorang suspek yang cuba larikan diri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Halim berkata, kereta peronda polis itu dilihatnya mengejar kereta viva terbabit ketika dia sedang menurunkan isterinya di sebuah gerai makan berhampiran sebelum memandu ke rumah adik iparnya.
“Masa berhenti tepi jalan turunkan isteri, saya dengar bunyi siren kereta polis dan saya ingat polis kejar saya. Tapi lepas tu saya nampak polis ikut kereta viva dinaiki dua lelaki masuk ke taman perumahan adik ipar.
“Sebelum kereta langgar polis URB, saya juga nampak peniaga kuih berhampiran deretan rumah kedai mencampakkan meja kayu ke arah kereta tersebut namun sempat dielak pemandunya, katanya.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan terdapat dua bungkusan berisi beberapa paket dadah disyaki syabu ditemui di dalam kereta berwarna putih tersebut.
Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi memberitahu maklum dengan kejadian tersebut namun kenyataan rasmi akan dibuatnya petang ini
.