BERLIN - JERMAN. Polis Jerman memberkas seorang pemohon suaka warga Algeria atas kesalahan seksual dalam insiden menggemparkan negara itu ketika sambutan tahun baharu di Cologne, menurut pendakwa raya, kelmarin.
Tangkapan suspek berusia 26 tahun itu dilakukan di sebuah kem pelarian di bandar Kerpen pada Sabtu lalu selepas didakwa mencabul mangsa dan mencuri telefon bimbit miliknya.
Jurucakap polis memaklumkan tujuh suspek lain turut ditahan atas kesalahan merompak.
Ratusan wanita didakwa dicabul dan dirompak oleh kira-kira 1,000 penyerang dipercayai kebanyakannya adalah lelaki Arab dan Afrika Utara di luar stesen kereta api utama di bandar barat di Berlin pada malam ambang tahun baharu tersebut.
Difahamkan, kira-kira 883 mangsa serangan telah membuat 766 aduan kepada polis termasuk dua kes rogol di Cologne.
Kejadian keganasan yang berlaku di Jerman telah menyebabkan beberapa pihak mula menuding jari dan menyalahkan pelarian selain mempersoalkan sama ada kerajaan dapat menguruskan kira-kira 1.1 juta migran yang tiba di negara itu pada tahun lalu, lapor AFP
.