MUMBAI - INDIA. Polis Mumbai mengenalpasti 16 tempat larangan selfie di bandar India susulan kes seorang lelaki lemas ketika cuba menyelamatkan seorang gadis yang terjatuh ke laut semasa mengambil gambar selfie.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Dhananjay Kulkarni, kawasan tersebut termasuklah kawasan tarikan pelancong di pantai Girgaum Chowpatty dan pesiaran Marine Drive lokasi di mana seorang remaja 18 tahun jatuh minggu lalu.
"Selepas beberapa kejadian malang berlaku, polis mengambil keputusan mengenalpasti 16 kawasan yang berbahaya untuk mengambil gambar selfie dan akan menambah kawasan larangan pada masa hadapan.
"Pihak kita telah memberitahu kepada perbadanan perbandaran untuk meletakan tanda amaran pada tempat-tempat tersebut malah turut akan menyediakan pangawal pantai," tambahnya lagi.
Sebelum itu, seorang gadis bersama dua rakannya jatuh ke dalam Laut Arab berhampiran Bandra Bandstand di utara ibu kota India ketika berselfie pada Sabtu lepas.
Lelaki berusia 37 tahun, Ramesh Walunj, terjun ke laut untuk membantu menyelamatkan mangsa tetapi telah dihanyutkan oleh ombak dan mayatnya ditemui terapung di sungai berdekatan pada hari Isnin. Mayat gadis itu masih hilang.
Tambah Dhananjay lagi, pegawai polis turut diarahkan untuk melakukan rondaan di kawasan-kawasan terpilih dan memberi amaran kepada orang ramai agar tidak mengambil gambar selfie
.