Search This Blog

Thursday, January 21, 2016

Pil kuda dalam teh ginseng

Shah Alam: Satu sindiket pengedaran dadah terbesar di Lembah Klang tumpas selepas polis menahan lima anggotanya selain menyerbu kondominium di sekitar ibu kota, Isnin lalu yang membawa kepada rampasan pil kuda, syabu, ekstasi dan ketamin bernilai RM4.6 juta.
Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, sindiket membungkus pil kuda terbabit menggunakan bungkusan teh ginseng sebelum diedar kepada pembeli.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak enam bulan lalu itu didalangi lima lelaki tempatan berusia 34 tahun hingga 53 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Asisten Komisioner Amran Ramli berkata, rampasan dadah itu dibuat susulan penahanan kelima-lima suspek di Jalan Ampang, Ampang, jam 2.30 petang, hari sama.
“Kelima-lima suspek ditahan ketika menaiki Perodua Alza. Pemeriksaan pada kenderaan itu menemui beg plastik berisi syabu seberat 3.03 gram disorok di tempat letak kaki penumpang depan.
“Susulan penahanan itu, suspek membawa kami ke kondominium mewah di Kuala Lumpur sebelum menemui 110,950 pil kuda, 52,900 ekstasi, ketamin seberat 724 gram dan syabu seberat 50 gram.
“Kondominium itu dijadikan stor oleh sindiket terbabit yang memperoleh bekalan itu dari negeri di utara tanah air. Dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.
Menurut Amran, seorang daripada suspek yang ditahan dikenal pasti sebagai dalang utama sindiket.
Dua lagi suspek masing-masing mempunyai enam dan 11 rekod jenayah lampau. Dua lagi tiada rekod jenayah lampau.
“Kami yakin sindiket mempunyai rangkaian dengan sindiket dadah di negeri lain memandangkan jumlah rampasan besar.
“Usaha dijalankan bagi mengesan beberapa individu bagi membantu siasatan,” katanya.
Kelima-lima suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 6:57 AM


Amran (dua kanan) bersama pegawai kanan PDRM menunjukkan dadah pelbagai jenis yang dirampas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108894#sthash.0C4d21yg.dpuf

No comments:

Post a Comment