JEMPOL - Seorang peniaga mengalami nasib sama dengan peniaga pasaraya jalan Mahsan, apabila mengalami kerugian RM60,000 selepas peti besi yang menyimpan wang itu lesap pagi tadi.
Insiden di sebuah kedai barang perkakasan itu disedari pemiliknya yang berusia 61 tahun, ketika dia datang ke lokasi sekitar jam 8 pagi.
Lebih mengharukan, wang itu merupakan gaji bulanan pekerjanya yang akan dibayar tidak lama lagi.
Ketua polis daerah, Superintenden Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa mendapati kedai dalam  keadaan berselerak dan  peti besi di dalam pejabat telah dipecahkan.
"Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai memecah masuk dengan cara mengunting pagar di bahagian belakang berhampiran kebun getah. Kemudian memecahkan pintu bahagian tepi bangunan untuk masuk ke premis.
"Suspek seterusnya mengumpil pintu gelongsor besi dan masuk ke bahagian pejabat.  Terdapat peti besi diletakkan di dalam sebuah kabinet kayu, pintu peti besi diumpil dan wang berjumlah RM60 000 dilarikan,"katanya ketika mengesahkan laporan sebentar tadi.
Noorzainy berkata, hasil rakaman kamera litar tertutup suspek dipercayai masuk ke dalam premis bermula pukul 4 pagi sehingga 428 pagi tadi.
"Hasil siasatan kita menemui tiga cap jari dan turut menemui satu pemotong wayar," katanya.
Noorzainy berkata, pihaknya berharap peniaga tidak menyimpan wang dalam nilai yang banyak di dalam premis perniagaan atau rumah.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes ini disiasat mengikut seksyen 457 kanun keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan," katanya.