Sedutan rakaman video menunjukkan aksi berani seorang petani di Kerala mengeluarkan kambing yang ditelan seekor ular sawa yang masih hidup hanya menggunakan tangan. AGENSI
Menurut laporan portal Mail Online, ular sawa itu dipercayai ditangkap di kawasan lebuh raya selepas pemangsa tersebut memburu dan menelan dua ekor kambing di kawasan kampung berhampiran.
Ular terbabit ditemukan dalam keadaan tidak bergerak kerana kekenyangan menelan haiwan ternakan milik lelaki berkenaan.
Aksi mencemaskan itu sempat dirakamkan oleh penduduk tempatan di Kerala, selatan India apabila lelaki tersebut yang tidak dinamakan, menekan badan ular sawa sepanjang 1.8 meter bagi mengeluarkan semula kambing miliknya.
Malah pada satu ketika, lelaki itu membuka mulut reptilia terbabit sebelum menarik keluar kepala anak kambing yang sudah mati.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan nasib ular sawa itu.