Search This Blog

Sunday, January 31, 2016

Perompak tabur serbuk lada selepas samun kedai emas

Sepasang perompak dipercayai menaburkan serbuk lada di atas lantai sejurus melakukan samun di sebuah kedai emas di Jalan Yam Tuan, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian samun jam 1.20 tengah hari, pasangan terbabit yang memakai topeng muka dan topi keledar berpenutup penuh meluru masuk ke dalam kedai emas berkenaan lalu mengarahkan pekerja diam.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 1.50 petang sebelum sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bergegas ke lokasi.
Menurutnya, siasatan di lokasi mendapati suspek adalah seorang lelaki dan wanita yang dilihat menunggang motosikal Honda EX5 sebelum masuk ke dalam kedai emas itu dengan bersenjatakan penukul besi.
“Suspek lelaki memecahkan cermin pameran menggunakan penukul besi yang dibalut surat khabar, manakala suspek wanita mengambil beberapa set barang kemas bernilai RM10,000.
“Suspek mengambil masa dua minit untuk melakukan samun sebelum melarikan diri. Ketika kejadian, hanya empat pekerja berada dalam kedai itu,” katanya.
Siasatan polis di lokasi kejadian turut menemui kesan serbuk lada bertaburan atas lantai kedai yang disyaki dibawa suspek tetapi tidak digunakan kepada mangsa.
“Siasatan masih dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai emas berkenaan dan di kawasan sekitar dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:11 AM


ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di kedai emas yang disamun.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111453#sthash.A5UxxbCK.dpuf

No comments:

Post a Comment