TAPAH – Mayat seorang lelaki ditemui di dalam sebuah pacuan empat roda yang berhenti di Kilometer 322 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan), di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu disedari polis yang membuat rondaan di lebuh raya berkenaan sebelum melihat kenderaan berkenaan di lorong kecemasan dalam keadaan enjin terpasang.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, mangsa, Khairul Anuar Mohd Noh, 43, yang bekerja sebagai penyelia dari Kampung Menderang, Sungkai ditemui dalam keadaan meniarap di bahagian tempat duduk hadapan.
Menurutnya, ketika anggota polis menghampiri lampu pacuan empat roda itu berada dalam keadaan terpasang,
"Apabila melihat keadaan mangsa, pegawai saya yang berada di lokasi segera menelefon ambulans dan bilik gerakan polis untuk tindakan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Bagaimanapun, pihaknya menolak sebarang unsur jenayah berlaku.
“Laporan awal bedah siasat mendapati mangsa mengalami serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Jenazah mangsa diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian
.