SHAH ALAM - Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari membabitkan sebuah bas di Jalan Subang berdekatan lampu isyarat Pangsapuri Brunsfield di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Mohamad Adam Alip, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
“Mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja melalui Jalan Subang dan apabila sampai di lampu isyarat Pangsapuri Brunsfield, mangsa dipercayai dilanggar, digesel dan diseret sebuah bas yang kemudian melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.
Shafien berkata, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, untuk dibedah siasat.
“Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.
"Kita juga sedang meneliti rakaman CCTV di sekitar tempat kejadian bagi membantu siasatan, katanya
.