Search This Blog

Friday, January 15, 2016

Penjara, denda jual rokok kepada kanak-kanak di India




NEW DELHI: Denda sebanyak Rs 1 lakh (RM6,501) dan penjara sehingga tujuh tahun akan dikenakan kepada sesiapa yang menjual rokok atau produk tembakau kepada kanak-kanak di India bermula hari ini.
Peruntukan itu sebahagian daripada Akta Keadilan Juvana (Penjagaan dan Perlindungan Kanak-kanak) 2015 diluluskan Parlimen India bulan lalu dan mula dilaksanakan pada hari ini.
Undang-undang berkaitan pesalah bawah umur itu juga membuka jalan percubaan kepada mereka berumur 16 hingga 18 tahun yang dituduh melakukan jenayah kejam seperti orang dewasa, untuk dihukum penjara sehingga tujuh tahun.
Untuk melindungi kanak-kanak daripada kesan bahaya merokok dan mengetatkan undang-undang kepada penjual rokok, kerajaan buat kali pertama menetapkan penjualan produk tembakau kepada kanak-kanak di bawah 18 tahun satu kesalahan jenayah yang serius.
Akta Kehakiman Juvana lama hanya meliputi minuman keras dan dadah.
Akta Rokok dan Produk Tembakau Lain (Larangan Iklan & Peraturan Penjualan dan Perdagangan, Pengeluaran, Bekalan dan Pembahagian) semasa melarang penjualan rokok atau produk tembakau lain kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun, dalam radius 100 meter daripada institusi pendidikan.
Hukuman kerana melanggar peraturan lama tidak ketat apabila denda Rs 200 (RM13) dan penjara sehingga tiga bulan dikenakan.
Begitu juga dengan kesalahan memberi dadah atau bahan-bahan psikotropik kepada kanak-kanak adalah kesalahan mengikut Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik.
Bagaimanapun, ia tidak termasuk produk tembakau. - AGENSI

No comments:

Post a Comment