Search This Blog

Friday, January 15, 2016

Pengurus syarikat hadapi 14 tuduhan menipu

SEREMBAN: Seorang pengurus syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan membabitkan kerugian bernilai RM645,229.
Tertuduh, Mohd Liza Azmie Md Darus, 45, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman dan mohon dibicarakan.
Dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada Disember 2014 hingga November 2015 tahun ini di cawangan bank Malayan Banking Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd dan pejabat syarikat Seputeh Resources, di sini.
Mengikut fakta kes, Mohd Liza Azmie bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa telah menipu Mohd Shamir Leman, 42, dengan memperdayakan mangsa bahawa tertuduh seorang remiser yang berdaftar yang mendorong mangsa untuk menyerahkan wang kepada syarikat Seputeh Resources, syarikat tertuduh bekerja.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat atau dikenakan denda.
Bagi semua pertuduhan itu, Majistret Mohd Zaki membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Abdullah memohon kepada mahkamah untuk mengenakan jaminan sebanyak RM200,000 bagi semua pertuduhan dengan dua orang penjamin dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.
Semasa rayuan, Peguam Gurdit Singh memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM30,000 dengan alasan syarat tambahan sudah menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah dan wang jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh dan bukan menghukumnya.
"Selain itu, semasa dalam tahanan pihak polis semenjak 28 Disember yang lepas sehingga hari ini, tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.
Mahkamah menetapkan 15 Februari depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment