HOSEN RIDOY
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang berusia 51 tahun disimbah dengan petrol di seluruh badannya oleh kumpulan berkenaan sebelum dinyalakan api.
Mangsa yang melecur lebih 90 peratus badannya kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini namun meninggal dunia selepas 12 jam dirawat.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, seorang lagi pe­ngawal keselamatan berusia 40-an cedera pada mata dipercayai di­sembur dengan penyembur lada.
“Motif kejadian dipercayai akibat perasaan tidak puas hati serta berebut kawasan, namun kami masih menyiasat motif sebenar suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Kapar, di sini hari ini.
Susulan kejadian, tambah beliau, pihaknya menahan lima lelaki berusia antara 27 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai atau saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kita juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” ujarnya.