Search This Blog

Thursday, January 14, 2016

Penangkapan Guzman melibatkan 2,500 anggota keselamatan


GUZMAN


BANDAR RAYA MEXICO – Penangkapan raja dadah, Joaquin Guzman atau El Chapo di­sifatkan pemburuan yang paling mahal dalam sejarah negara itu apabila pihak berkuasa terpaksa mengerahkan sekurang-kurangnya 2,500 anggota keselamatan dan ejen perisikan.
Langkah itu diambil semata-mata untuk menangkap seorang lelaki yang telah melarikan diri beberapa kali dari penjara kawalan maksimum dalam tempoh 14 tahun sekali gus memalukan Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto.
Kerajaan berkata, pemburuan itu melibatkan maklumat yang diperoleh secara bersama daripada agensi perisikan, data, soal siasat dan serbuan selain memantau aktor Hollywood, Sean Penn dan aktres Mexico, Kate del Castillo yang menemu bual pengedar dadah yang pa­ling dikehendaki di dunia itu.
Seorang bekas agensi perisikan kerajaan yang enggan dikenali berkata, terdapat dua punca utama yang membawa kepada kejayaan penangkapan Guzman selepas bertahun-tahun pihak berkuasa memburu penjenayah berkenaan.
“Satunya ialah El Chapo telah menghentikan pengedaran dadah secara rahsia. Dia meninggalkan kawasan pergunungan. Dia bertemu dengan orang ramai seperti mana kita ketahui. Keadaan itu membuatkan kerja-kerja unit pe­ri­sikan menjadi lebih mudah untuk menangkapnya.
“Faktor lain ialah ketika dia meloloskan diri, pihak berkuasa telah mengerahkan kira-kira 2,500 anggota daripada pelbagai agensi kese­lamatan supaya operasi penangkapan raja dadah berkenaan berjalan lancar,” katanya.
Bagaimanapun, Pejabat Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto dan pejabat peguam negara tidak dapat dihubungi bagi mengesahkan jumlah anggota keselamatan tersebut, namun beberapa pegawai kerajaan berkata, kerja-kerja operasi penangkapan itu melibatkan sekurang-kurangnya 2,500 anggota keselamatan.
Guzman telah ditahan pada pagi Jumaat lalu dalam satu kejadian tembak-menembak di bandar Los Mochis, Sinaloa. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3xBgJ0ajK 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment