Search This Blog

Monday, January 18, 2016

Pemilik melopong

Kuantan: Berdasarkan kontrak dipersetujui, tiga pengusaha bauksit yang menjalankan perlombongan mineral itu akan membayar RM5,000 sebulan untuk tempoh dua tahun kepada Che Zainab Che Pa, 68, berikutan tanahnya seluas 1.2 hektar di FELDA Bukit Goh digunakan sebagai pusat pengumpulan bauksit.
Namun, Che Zainab hanya berpeluang menikmati pendapatan mewah itu untuk tempoh lapan bulan saja sejak Januari tahun lalu selepas pengusaha terbabit melanggar kontrak itu.
Tindakan pengusaha itu menyebabkan Che Zainab bingung dengan status tanahnya lebih-lebih lagi, sejak September lalu, tiada aktiviti dilakukan di atas tanahnya sedangkan semua pokok kelapa sawit di situ sudah ditebang.
Katanya, dia didatangi tiga pengusaha terbabit penghujung 2014 dan memaklumkan hasrat mereka untuk ‘menyewa’ tanah berkenaan bagi dijadikan pusat pengumpulan bauksit serta ditawarkan bayaran RM5,000 sebulan.
“Saya terima tawaran berkenaan memandangkan sebelum ini, saya hanya bergantung kepada pendapatan hasil jualan kepala sawit ditambah pula usia saya yang semakin lanjut.
“Walaupun jumlah bayaran yang diterima tidak sebanyak penduduk lain namun saya tetap bersyukur dan menganggap ia sebagai rezeki di penghujung usia,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut Che Zainab, dia mula menerima bayaran itu sejak Januari 2015 hingga Ogos 2015. Bagaimanapun, pengusaha itu menghentikan bayaran bermula September.
Malah katanya, tanahnya yang sebelum ini penuh dengan timbunan bauksit kini kosong.
“Saya ada menghubungi seorang daripada pengusaha terbabit namun mereka seakan menuding jari sesama mereka apabila saya minta penjelasan.
“Mereka juga memaklumkan, pemberhentian bayaran itu dilakukan berikutan mereka tidak lagi menggunakan tanah berkenaan untuk mengumpul bauksit sedangkan sudah tertulis di dalam kontrak saya akan dibayar RM5,000 untuk tempoh dua tahun,” katanya.
Che Zainab yang juga ibu tunggal berkata, dia difahamkan tiga pengusaha itu berdepan masalah dalaman dan tidak lagi sehaluan untuk menjalankan aktiviti perlombongan bauksit di kawasan itu.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 6:19 AM


KEADAAN lombong bauksit yang ditinggalkan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/108190#sthash.ReykWKZO.dpuf

No comments:

Post a Comment