Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa yang berumur 27 tahun maut semasa dalam perjalanan ke hospital ekoran kecederaan parah di badan dan kepalanya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Wan Hassan Wan Ahmad yang dihubu­ngi berkata, ketika kejadian mangsa memandu kenderaan itu dan dalam perjalanan ke rumahnya yang terletak kawasan berdekatan selepas menghantar pekerja sebuah kilang di Perai.
Menurutnya, sebaik sahaja berada di lampu isyarat itu, mang­sa dihampiri sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang dan meminta dia menyerah barangan berharga jika tidak mahu dice­derakan.
“Ekoran itu dipercayai berlaku pergelutan di antara mangsa dan kesemua suspek sehingga menyebabkan mangsa ditetak di tempat kejadian.
“Mangsa yang cedera parah itu ditinggalkan di lokasi kejadian dan kesemua suspek melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal,” katanya.
Kata Wan Hassan, selepas kejadian mangsa yang cedera parah mencari jalan pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di rumah, mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan sebelum disahkan mati di Hospital Seberang Jaya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.