PARIT BUNTAR - Hajat seorang pekerja kilang pulang makan tengah hari di rumah tidak kesampaian apabila maut diseret sebuah lori dalam kejadian kemalangan di Simpang Tiga, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12 tengahari itu, mangsa, Mohd Rozaidi Ahmad Nazri,32, dari Kampung Kedah, di sini maut di lokasi kejadian setelah motosikal jenis Honda EX5 ditunggang diseret sebuah lori yang mahu memasuki kawasan premis peralatan pertukangan berhampiran persimpangan lampu isyarat di Simpang Tiga, di sini.
Abang mangsa, Mohd Razif,33, berkata, berdasarkan maklumat saksi kejadian, mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja di kawasan perindustrian Simpang Lima untuk makan tengah hari.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa tidak menyedari kehadiran sebuah lori yang menyeberangi laluan bertentangan secara tiba-tiba untuk memasuki sebuah premis peralatan pertukangan di situ.
"Arwah tidak sempat mengelak akhirnya dirempuh dan diseret lori berkenaan yang dipercayai turut tidak menyedari kelibat arwah di hadapannya.
"Arwah bersama motosikalnya diseret sejauh lima meter sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,"katanya sewaktu ditemui media di bilik mayat Hospital Parit Buntar di sini, semalam.
Mohd Razif berkata, sejak sebulan lalu, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan masih bujang, menunjukkan sikap luar biasa apabila sering berdiam diri dan membuat hal sendiri.
"Sikap aneh itu amat berbeza dengan peribadi sebenar arwah yang sentiasa ceria dan amat mengambil berat masalah keluarga.
"Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Hijau, Kampung Kedah pada jam 6 petang selepas selesai proses bedah siasat,"katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan masih dijalankan
.