KUANTAN - Seorang Penolong Pentadbir Tanah dan Pembantu Awam Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima suapan daripada seorang pelombong bauksit haram 6 Januari lalu.
Tertuduh, Mohd. Nurfirdaus Rahmat, 28, dan Abdul Rahim Sulaiman, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Nurfirdaus dituduh menerima rasuah wang tunai sebanyak RM8,500 daripada Anurul Hiraq Abu Bakar, 33, sebagai balasan kerana memberi perlindungan bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram dengan menjual 50 keping borang 13D.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 6.05 petang di Lorong Bukit Ubi 26, Bukit Sekilau, Kuantan 6 Januari lalu.
[ARTIKEL BERKAITAN: Dua lagi pegawai PTG Pahang akan didakwa esok]
Tertuduh kedua, Abdul Rahim Sulaiman, 53, pula dituduh bersubahat bersama Mohd. Nurfirdaus menerima suapan wang tunai sebanyak RM8,500 daripada orang yang sama sebagai balasan kerana memberi perlindungan bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit secara haram.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 28 (1) (c) dibaca bersama Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) akta yang sama.
Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafinas Shabudin .
Mahkamah menetapkan 15 Februari depan sebagai tarikh sebut semula kes tersebut.
Kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin
.