KLUANG - Seorang operator kilang maut di tempat kejadian apabila motosikal yang ditungganginya melanggar sebuah treler di Kilometer 51.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini, lebih kurang jam 9.25 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kemalangan itu membabitkan penunggang motosikal, Mohd Farhan Mohamad, 20, dan sebuah treler yang dipandu, Mohd Rozi Basharuddin, 42.
Menurut Mohamad, apabila sampai di tempat kejadian, treler yang dari arah utara mengalami kerosakan menyebabkan pemandunya memberhentikan kenderaan itu di lorong kecemasan.
“Tiba-tiba, datang motosikal mangsa dari arah sama melanggar treler tersebut di bahagian belakang sebelah kanan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak di tengah jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan berlaku di waktu pagi.
Jelasnya, struktur jalan adalah lurus dan dua hala dengan setiap hala ada tiga lorong termasuk lorong kecemasan.
“Cuaca semasa kejadian adalah baik dan tidak hujan,” katanya.
Mohamad berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom dan siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.