BAGAN SERAI - Perjalanan seorang lelaki pulang dari kenduri di rumah rakan berakhir tragedi apabila motosikal berkuasa tinggi dinaiki terbabas dan terbakar di Jalan Kuala Kurau, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kurau, di sini kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.30 petang, mangsa, Muhamed Faez Hamizol, 24, mengalami kecederaan di badan dan motosikal jenis Naza Blade 250 dinaiki hangus terbakar setelah beberapa kali terpelanting di atas jalan raya.
Saksi kejadian hanya dikenali Zul, 30, berkata, mangsa bersamanya sedang pulang selepas menghadiri kenduri akikah di rumah rakan mereka di Kuala Kurau dengan berkonvoi menaiki motosikal berkuasa tinggi.
Menurutnya, sepanjang perjalanan pulang, dia berada di belakang mangsa kerana turut membonceng seorang anaknya.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal Muhamed Faez tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke tengah jalan raya.
“Saya dapat melihat dia tercampak ke tengah jalan, manakala motosikalnya terpelanting beberapa kali ke arah bahu jalan sebelum terbakar tiba-tiba.
“Mujur dia sempat beredar ke bahu jalan dan tiada kenderaan lalu di situ, jika tidak saya tidak dapat bayangkan nasib dia macam mana,” katanya sewaktu dihubungi media di sini semalam.  
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat dari orang awam pada jam 2.50 petang.
Menurutnya, pihaknya segera memadamkan api yang sedang marak membakar motosikal terbabit setibanya di lokasi kejadian.
“Kami mengambil masa sekitar lima minit memadamkan kebakaran menggunakan air dari tangki jentera.
“Mangsa yang mengalami kecederaan di muka dibawa ke Hospital Parit Buntar oleh jentera EMRS BBP Bagan Serai untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi tamat pada jam 3.12 petang. Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya
.