Muhammad Danish Junaidi, 12, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.05 pagi kelmarin di ICU Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum itu.
Bapa saudara mangsa, Zainuddin Mohammad berkata, mangsa dimasukkan ke Hospital Besut bersama adiknya yang berusia 11 tahun  pada Isnin lepas, selepas disahkan demam denggi setelah menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian.
“Mereka telah dua hari demam, sebelum menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian dan dirujuk ke Hospital Besut.
“Bagaimanapun, si mati terlebih dahulu dirujuk ke HSNZ akibat keadaannya semakin teruk, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan,” katanya, semalam.
Menurut Zainuddin yang juga pengerusi JKKK pulau berkenaan, jenazah Muhammad Danish kemudian dibawa pulang ke Pulau Perhentian dan selamat dikebumikan kira-kira jam 3 petang kelmarin.
Katanya, mangsa merupakan anak pertama daripada empat beradik kepada pasangan, Samsul Bahari Mohd, 43 dan Nizalina Shahril, 32.
Samsul Bahari bekerja sebagai pemandu bot teksi di Pulau Perhentian, manakala isterinya tidak bekerja.
Adik Muhammad Danish yang berusia 11 tahun, masih dirawat di HSNZ.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Razan Ab Samat berkata, kes kematian itu merupakan kes pertama di Besut pada tahun ini disebabkan demam denggi.
Menurutnya lagi, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan langkah susulan telah dilakukan di Pulau Perhentian bermula kelmarin bagi memusnahkan tempat pembiakan aedes serta meningkatkan kesedaran penduduk.
“Mangsa dipercayai mendapat demam denggi dari kawasan perkampungan itu. Pelbagai usaha dilakukan di situ bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Keadaan persekitaran, longkang tidak bersih, bot berada di darat yang menakung air dan beberapa lokasi lain dikenal pasti sebagai tempat berpotensi pembiakan aedes,” katanya.
Razan berkata, sejak awal Januari hingga semalam, sebanyak 12 kes demam denggi termasuk satu kematian direkodkan di daerah ini, berbanding tiada kes dalam tempoh sama pada tahun lepas.
Beliau turut meminta orang ramai menjaga kebersihan sekitar rumah dan kampung masing-masing bagi mengatasi masalah tersebut, sekali gus mengelak risiko kematian akibat demam denggi.