Pemandu-pemandu teksi terlibat yang marah terhadap perkhidmatan teksi alternatif, Uber turut bertindak menyekat jalan utama di persimpangan barat ibu kota ini, selain membaling bom asap dan melakukan pembakaran.
Menurut polis, kumpulan ber­kenaan akan meneruskan mogok tersebut sehingga esok, sekali gus menjejaskan laluan ke Lapangan Terbang Orly dan Roissy.
Situasi semakin tegang apabila satu daripada lima penerbangan dalam atau luar Paris dibatalkan berikutan mogok pengawal trafik udara yang tidak berpuas hati dengan gaji mereka, sekali gus menjejaskan perkhidmatan di Lapangan Terbang Orly dan Charles de Gaulle.
Menurut jurucakap syarikat pe­nerbangan tambang murah Rynair, pihaknya terpaksa membatalkan 200 penerbangan, manakala easyJet membatalkan 35 penerbangan kebanyakannya penerbangan domestik, yang turut menjejaskan penerbangan ke Itali, Switzerland dan Sepanyol.
Pada masa yang sama, kira-kira 15,000 kakitangan awam berarak di jalan raya sebagai membantah langkah jimat cermat yang dilaksanakan kerajaan dengan membawa kain rentang bertulis ‘Naikkan gaji bukan pemegang saham’ dan ‘Sudah-sudahlah berjimat cermat’.
Kesatuan Persekutuan Buruh Awam (CGT) menyifatkan mogok tersebut sebagai ‘perarakan terbesar’ kakitangan awam sejak Pre­siden, Francois Hollande berkuasa pada 2012.
Jurucakap Kementerian Pendidikan berkata, beberapa sekolah rendah dan menengah terjejas ekoran kira-kira 12 peratus guru sekolah menengah menyertai mogok ber­kenaan bagi menuntut kenaikan gaji, manakala 22 peratus guru sekolah menengah membantah perubahan pendidikan murid berusia antara 11 tahun dan 15 tahun. – AFP