Amaran yang diberikan oleh sekumpulan perompak dalam kejadian samun masih terngiang-ngiang di fikiran Muhamad Amirul Rosdi, 14,
Menurut Muhamad Amirul, detik cemas itu dilaluinya di rumahnya di Felda Jengka 15 di sini kira-kira pukul 2.35 pagi ini.
Kejadian samun kali keempat di Gugusan Jengka pada bulan ini dan berlaku selang dua hari selepas kejadian terakhir di Jengka 13 itu menggemparkan penduduk selain melahirkan kebimbangan tentang keselamatan mereka.
Muhamad Amirul berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang tidur berseorangan di ruang rehat dapur rumah manakala ibunya, Salbiah Adnan, 43, dan bapanya, Rosdi Ismail, 45, bersama adik bongsunya berusia setahun berada di dalam bilik.
Katanya, semua perompak yang menutup muka itu memasuki rumahnya selepas mencungkil tingkap di bahagian dapur rumah berkenaan.
“Sebaik sahaja dikejutkan daripada tidur oleh penjenayah bertopeng itu, saya diarahkan mengetuk pintu bilik mama. Apabila pintu dibuka, mama cuba lari sebelum disuruh duduk manakala ayah diikat dengan tali getah dan diacu parang.
“Saya berasa amat takut pada masa itu apatah lagi melihat perompak itu meletakkan parang di leher ayah sambil bertanyakan tentang duit dan barang kemas,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, Salbiah berkata, dia yang masih trauma dengan kejadian tersebut hanya memikirkan soal keselamatan keluarganya terutama suami yang diacukan dengan parang.
Semasa kejadian itu, katanya, dia hanya mampu berdoa memohon perlindungan daripada Allah SWT dan membiarkan kesemua perompak berkenaan menggeledah rumah mereka.
“Perompak berkenaan kemudian bertindak mengurung kami di dalam bilik. Mereka menggugut akan mencederakan kami jika menjerit sebelum melarikan diri bersama barangan kemas dan wang tunai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mat Rizal Mat Radzi yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa mengalami kerugian keseluruhan bernilai RM30,000 termasuk wang tunai sebanyak RM7,000. - UTUSAN ONLINE