EDMONTON - CANADA. Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan pihak berkuasa selepas disyaki menyamar sebagai penguatkuasa undang-undang dan merogol seorang kanak-kanak.
Memetik laporan Mirror.co.uk, pada hari kejadian, lelaki tersebut yang mengaku sebagai seorang polis menaiki motor dan menahan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.
Menurut pegawai siasatan, Detektif Inspektor Tracey Cormack, suspek kemudiannya memberitahu kanak-kanak terbabit bahawa kanak-kanak itu disyaki terlibat dalam kes kecurian dan perlu diperiksa.
“Selepas menahan mangsa, suspek kemudiannya menggunakan pisau dan mengugut untuk mencederakan mangsa sebelum merogol mangsa,” katanya.
Serangan tersebut dikaitkan dengan satu lagi insiden satu jam sebelumnya di lokasi berlainan.
Dalam insiden tersebut, seorang lelaki bermotorsikal telah menahan seorang budak perempuan dan meminta kanak-kanak terbabit untuk masuk ke dalam sebuah van.
Menurut kanak-kanak itu, lelaki tersebut yang mengaku sebagai anggota polis memberitahu bahawa dia terpaksa menahan kanak-kanak itu.
Lelaki tersebut dikatakan menarik pinggang kanak-kanak terbabit untuk menyumbatkannya ke dalam van tersebut, bagaimanapun kanak-kanak terbabit berjaya melepaskan diri.
Susulan itu, pihak polis melakukan tahanan ke atas suspek itu yang dipercayai mempunyai hubungkait ke atas dua kejadian tersebut
.