Search This Blog

Friday, January 29, 2016

Mengaku potong kemaluan suami




Fatimah (kanan) diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah semalam.


KUALA PILAH – Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mencederakan suaminya dengan memotong kemaluan lelaki itu di Jempol, minggu lalu.
Fatimah Abdullah, 51, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh keputusan hukuman sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan membenarkan ibu lima anak tersebut diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang dijamin oleh anak pe­rempuannya dilihat me­ngalirkan air mata selepas membuat pengakuan tersebut.
Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas warga Pakistan, Umar Rahman, 44, dengan menggunakan sebilah pisau yang kemungkinan menyebabkan kematian di sebuah rumah di Jalan Beringin 3, Batu Kikir dekat Jempol pada pukul 1.20 pagi, 20 Januari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammad Zanudin mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan jika didapati bersalah.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Kosmo! pada 21 Januari lalu melaporkan, seorang wanita yang sudah hilang sabar nekad memotong kemaluan suaminya selepas tidak tahan dengan sikapnya yang sering memaksa dia melakukan seks ganas.
Kejadian malang itu berlaku ketika mangsa sedang tidur. Ekoran kejadian itu, lelaki warga asing tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kikir di sini sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur bagi menyambung semula kemaluannya yang putus.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3ya0i2Ukv 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment