KUANTAN - Seorang penunggang maut manakala pembonceng parah selepas motosikal dinaiki mereka bergesel dengan sebuah lori di simpang Kampung Derhaka, Jalan Kuantan-Sungai Soi di sini, pagi semalam.
Dalam kemalangan kira-kira jam 7.40 pagi itu, pekerja pasar ikan Tanjung Api,  Rokiah Ibrahim, 55, dari Perumahan Kampung Pak Mahat meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng, Mek Wok Tahir, 62, dari perumahan yang sama cedera parah.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenass Karisma itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Sungai Soi menghala ke bandar Kuantan.
Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mereka bergesel dengan sebuah lori menyebabkan kedua-duanya tercampak ke atas jalan.
“Mangsa (Rokiah) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Abdul Aziz berkata, kemalangan diklasifikasikan sebagai kes langgar lari kerana pemandu lori dipercayai melarikan diri dan belum membuat sebarang laporan polis setakat ini.
“Mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk bedah siasat sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.
Beliau berkata, pemandu lori yang terlibat diminta tampil ke balai polis trafik untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Pada masa yang sama, kita juga minta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu supaya datang ke balai polis trafik Kuantan menyalurkan  maklumat,” katanya.
Menurutnya, kemalangan yang meragut nyawa wanita itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
.