MARANG - Seorang pejalan kaki maut selepas dirempuh dan digilis sebuah lori treler dalam kejadian di Kilometer 18 Jalan Kuala Terenganu-Kuala Berang berhampiran Masjid Binjai Rendah, di sini malam tadi.
Insiden kira-kira pukul 9.15 malam itu menyebabkan mangsa Madeng @ Mr Mayadeng, 47, maut di lokasi kejadian berikutan kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.
Ketika kejadian mangsa dipercayai hendak menyeberangi jalan apabila datang sebuah treler dari arah Kuala Berang menuju ke Kuala Terengganu.
Pemandu lori terbabit yang berusia 42 tahun cuba membrek treler tersebut namun gagal ekoran jarak terlalu dekat lantas merempuh mangsa hingga terperosok di bawah lori berkenaan.
Semasa kejadian difahamkan mangsa baru selesai menunaikan solat Isyak di masjid berhampiran dan melintas jalan untuk ke sebuah kedai makan berhampiran.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Terengganu, Superintendan Kamaludin Mohamad ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian.
Katanya pemandu treler yang berasal dari Kampung Durian Guling tidak mengalami sebarang kecederaan dan siastan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan.
"Kita juga akan menjalankan ujian saringan air kencing dan ujian darah pada pemandu berkenaan," katanya.
Beliau berkata mangsa dihantar ke unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk dibedah siasat. - Bernam
a